Saturday, 23 January 2016

JEMPUT-JEMPUT PISANG ALIAS COKODOK


Cokodok sahaja ke kakak?

Ya!, ramai beranggapan resepi ini mudah disediakan. Tapi tahukah kalian semua, resepi inilah KPI orang zaman dahulu untuk menentukan bakal menantu mereka menguasai kemahiran memasak atau tidak. 

Jika terlebih tepung, ia akan keras. Jika terlebih gula ia akan melekat di kuali atau sesamanya. Apatah lagi kalau bentuk dan saiz tak sama serta rupa jemput-jemput yang berkedut-kedut. Harus,  anak dara yang dinilai itu punya peluang tipis untuk jadi menantunya. Ha..ha..ini semua rujukan perbualan dengan emak kakak yang mengenangkan zaman remajanya dulu. 

Baiklah, kakak kongsikan resepi Cokodok ini dan tips untuk mendapat bentuk yang bulat dan cantik.

Bahan-bahan:

8 biji pisang emas (dilecek halus. Jangan tambah air)
1 cawan tepung
2 camb. tepung beras
1/2 camt. garam
1 camb. gula
1 camt. yis kering 

p/s:Kakak suka tambah yis kering berbanding soda bikarbonat atau serbuk penaik. Yis akan menaik rasa asli pisang dan menjadikannya lebih harum. Berbanding dengan agen penaik, ia akan merubah sedikit rasa pisang dan kadang kala ada rasa pahit jika tidak digaul sebati. Inilah juga rahsia mendapatkan cekodok yang betul-betul bulat. Ahaks...(aksi kenyit mata)

Cara:
Campurkan semua bahan dan gaulkan sehingga menjadi bater pekat. Panaskan minyak sehingga betul-betul panas dan perlahankan api. Jemput bater tadi dan lepaskan di tengah-tengah kuali. Guna belakang sudip untuk menguli bater di dalam kuali minyak panas dengan membuat pusingan. Angkat apabila ia kelihatan keperangan. Kaedah ini akan menjadikan jemput-jemput bulat sekata dan ranggup diluar.  Ia tidak akan berkedut walaupun setelah sejuk.

Peringatan: Jangan lepaskan terlalu banyak jemput-jemput dalam satu masa, kerana ini akan menyebabkan bentuknya tidak sekata dan makan minyak kerana suhu minyak akan turun dan bater akan menyerap lebih minyak dari biasa

1 comment: