Saturday, 16 January 2016

TALAM MARBLE PANDAN

Hari ini kakak nak kongsi satu lagi resepi yang mudah.

Ini adalah ‘spesis’ talam yang tak perlu di kukus. Rasanya sangat unik, dengan bau harum daun pandan  dan manis-manis lemak.  Aih! Pendek kata siapa yang rasa mesti minta resepi lah.


Hoen Kwee? Tak boleh guna tepung lain ke kakak?

Hoen Kwee ini adalah tepung kanji kacang hijau. Kacang hijau akan direndam semalaman dan dibuang kulit.  Kemudian dikisar. Hasil daripada pes yang dikisar ini ditapis dan dienapkan. Semua fiber kacang itu dibuang hanya airnya sahaja diambil.  Air kanji itu dikeringkan.  Itulah tepung Hoen Kwee.

Bagi yang tidak suka nama Hoen Kwe boleh menggantikannya dengan tepung kanji ubi kayu. Cuma buang ¼ dari sukatan tepung kanji dan tambahkan dengan tepung beras. 

Selamat bereksperimen.


Bahan-bahan ( loyang 10” x 10”)

280 g tepung Hoen Kwee putih
450 g gula halus (2 1/4 cwn rata)
2100 ml santan pekat (drpd 2 biji kelapa)
1 sk garam
1 camb emalco pandan


Satukan kesemua bahan ke dlm mangkuk kecuali emalco pandan  dan dibahagi dua. Satu bahagian di campur emalco.  Masak adunan dlm periuk yg berasingan sehingga pekat,licin dan kelihatan meletup2. Matikan api.  Loyang di griskan dgn minyak masak terlebih dahulu.  Marblekan adunan berselang-seli warna hingga habis di dlm loyang. Sejukkan.   Siap utk dipotong dan dihidangkan.   Semasa memarbelkan adunan hendaklah lakukan dengan pantas kerana adunan cepat mengeras.

Friday, 15 January 2016

CHURROS

Churros! Makanan yang menjadi fenomena di media sosial sekarang ini.

Churros! Sedap dimakan panas

Alhamdulillah, dapat berkongsi rezeki dengan jiran

Ya! Ada yang kata ini kuih belimbing  asal dari Terengganu

Tapi kalau kita lihat pada resepi,  bahan  utamanya ialah tepung gandum. Pastinya ia bukan kuih tempatan. Resepi ini mungkin hasil asimilasi makanan akibat hubungan dagangan Tanah Melayu dengan dunia luar terutamanya China, Portugal dan Sepanyol semenjak kurun ke-15 lagi.

Wah! Mendalam kupasan kakak kali ini.
 
Churro adalah resepi terbitan daripada pastry Choux. Adunan tepung yang dicipta oleh seorang Chef dari Perancis. Choux dalam bahasa Perancis bermaksud kubis, kerana apabila dipaipkan dan dibakar bentuknya bulat seakan seketul kubis. Aduan Choux boleh dipelbagaikan dan ada yang digoreng. Kaedah goreng inilah yang dipanggil Churro.

Churro mula disajikan oleh pengembala Sepanyol. Kebanyakan masa pengembala ini dihabiskan di kawasan pergunungan dan churro di goreng untuk dinikmati segar dan panas bagi menggantikan bekalan roti. 

Sedapnya Churro ini apabila ia dicicah dengan coklat atau ‘butterscotch’. Hmm! Sapa tak suka coklatkan. Biasanya Churro ini dihidangkan waktu sarapan. Tapi boleh saja dinikmati bila-bila masa pun.

Baiklah, marilah kita sama-sama perhatikan resepinya. Nanti boleh sediakan untuk minum petang bersama keluarga.


BAHAN-BAHAN:

125ml air
60g mentega
2 biji telur 
100g tepung gandum
Secubit garam

CARA:

1.    Satukan air, mentega dan garam. Masak sehingga mentega larut.
2.    Perlahankan api. Masukkan tepung dan kacau sehingga adunan tidak melekat di dinding periuk.
3.    Keluarkan dan guna senduk kayu untuk kacau sebentar (sehingga suam).
4.    Masukkan sebiji telur dan kacau sehinga sebati barulah dimasukkan sebiji lagi.
5.    Pukul sehinga adunan licin.
6.    Masukkan dalam beg piping yang telah diletakkan nozel bintang.
7.    Paipkan dalam minyak yang telah dipanaskan. Dan goreng sehingga kekuningan.
8.    Angkat dan toskan di atas kertas tisu untuk menyerap minyak.
9.    Taburkan dengan gula ising dan serbuk kulit kayu manis





Thursday, 14 January 2016

PASTRI DANISH


Posting kakak sebelum ini ada sebut mengenai “signature dish” kan.  Teringat pulak kakak dengan sekolah terakhir di Perlis sebelum balik ke Kedah ni. Pengetua Kakak tu suka benar dia dengan Pastri Danish.  Tiap kali ada majlis atau kunjungan penanda aras, mesti beliau minta disediakan pastry itu.

“Cikgu buat kuih yang ada jem kat tengah, bentuk bunga tu.  Saya suka betul. Saya nak orang kenal itu kuih Tengku Suleiman”.

Masih ingat kakak dengan permintaan ini.  Permintaan yang sukar ditolak, kerana beliau memang betul-betul suka pastri  ini.  Sudah empat buah sekolah kakak bertugas, inilah satu satunya pengetua yang meminta untuk ‘tapau’ pastry Danish selepas kali pertama merasanya dalam satu majlis di sekolah.   Nak balik tunjuk pada isteri di rumah katanya. Ah! Sungguh kakak terharu pada masa itu.

Pastri Danish ni memang agak banyak langkah penyediaannya, tapi boleh sediakan dalam kuantiti yang banyak dan dibekukan.  Pastri Danish dingin beku pun dah ada di pasaran sekarang ini. Cuma perlu bentuk, letak isian, sapu telur dan bakar.
Walaupun dah ada di pasaran, kakak lebih suka buat sendiri. 

Bahan-bahan:

100 gm mentega pastri
11 g yis 
2 sudu gula
100 ml susu segar (suamkan)
1 sudu teh vanilla
1 telur
350g tepung serbaguna

Cara :

1.    Satukan susu, gula dan yis dalam bekas dan biarkan 10 minit.  
2.    Dalam bekas lain satukan semua bahan kering.  Gaul rata dan buat lubang di tengah-tengah.  Masukkan bancuhan susu, vanilla dan telur di tengah.
3.    Perlahan-lahan sebatikan adunan dan uli hingga menjadi doh lembut.  Rehatkan adunan selama 30 minit.  
4.    Letakkan mentega seperti ilustrasi di bawah dan ikuti langkah melipat dan mencanai (Book Fold Step)
(ilustrasi asal dari nota belajar dahulu)

5.    Bentukkan dan letakkan isian di tengah (Jem, kastad, krim segar, buah-buahan seperi peach, nenas dan strawberi ) dan sapukan telur.
6.    Bakar pada suhu 200°C selama 10  minit ( ini saiz kecil)
7.    Angkat dan keluarkan dari dulang, sejukkan di atas redai.
8.    Sedia untuk dihidangkan





Wednesday, 13 January 2016

ROTI SODA SAVORI DAN SUP BUNGA KUBIS BERKRIM

Wah! Biru mata hitamku.

Roti soda. Mudah disediakan berbanding roti yis. Teksturnya tidak segebu roti yis, tapi sangat sesuai dimakan bersama sup 

 Sup bunga kubis. Lazatnya setanding dengan sup cendawan. Penyediaannya lebih ringkas dan cepat


Sebenarnya menu ini adalah inspirasi untuk mengosongkan peti sejuk.  Oleh kerana hujung minggu ini kami akan bercuti panjang sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, kami nak balik kampung.  Maka wajiblah  menghabiskan stok.  Mood: Gigih


Bunga kubis masih ada sebiji, dua batang seleri dan seikat daun bawang. Jadi porsi yang dimasak agak banyak. Alhamdulillah, dapalah jiran kiri dan kanan  merasa sedikit hasil air tangan ini.


Kiranya ini ibarat “Signature Dish” kakak lah. (senyum lebar tetapi cuba untuk tidak kembangkan hidung).


Marilah sama-sama perhatikan resepi ini, mana tahu di rumah anda juga masih ada bunga kubis dan daun bawang, boleh dimasak terus untuk keluarga nikmati malam nanti.


“Sedap habag Hang”.


Cubalah ya!


Roti Soda Savori
Bahan-Bahan;
resepi roti soda irish sedap senang
- 2 Cawan Tepung
- 1/3 Cawan bawang merah (dipotong nipis dan digoreng)
- 1 ikat daun bawang
- 1 Sudu Besar mentega(Cairkan)
- 1 Sudu Besar Cuka
- 1 Cawan Susu
- Secubit Garam
- 1 Sudu Teh Baking Powder
- 1 Sudu Teh Soda Bikarbonat

Cara:
resepi roti soda irish sedap senang
1. Campurkan cuka kedalam susu dan biarkannya menjadi pekat seperti buttermilk.
2. Masukkan tepung, bawang goreng, daun bawang, soda, baking powder, mentega, gula dan garam, kacau rata.
3. Masukkan buttermilk kedalamnya dan gaul sebati hingga menjadi doh yang melekit.
4. Ambil sedikit tepung dan ditabur atas loyang. Doh tadi dibahagi empat dan bentukkan
5. Letakkan doh diatas loyang dan potong sedikit diatasnya.
6. Bakar pada suhu 190 celcius selama 30-40 minit.
7. Untuk adunan ini boleh dapat 4 biji roti saiz subway.

Sup Bunga Kubis

Bahan-bahan:
·         1 biji kubis bunga  ( dipotong sederhana besar )
·         1 biji bawang Holland  ( dipotong sederhana besar )
·         2 batang seleri  ( dipotong sederhana besar )
·         1 helai daun salam( bay leaf )
·         125ml krim
·         Stok Ayam
·         Garam secukup rasa
·         Sedikit serbuk paprika


Cara:

1.    Rebus bahan-bahan yang dipotong dengan stok ayam sehingga masak.
2.    Kemudian sejukkan seketika dan kisar bersama air rebusan tadi sehingga sebati. Seterusnya tapis bahan kisar dan masukkan ke dalam periuk yang lain.
3.    Didihkan dengan api sederhana dan masukkan daun salam. Masukkan garam secukupnya dan masak hingga mendidih.
4.    Akhir sekali, masukkan krim dan dikacau rata. Angkat, taburkan serbuk paprika dan sedia dihidangkan.


Monday, 11 January 2016

SPAGETI UDANG

Anak-anak suka sangat dengan pasta, terutamanya spageti. Kelmarin di Montessori  auntie mereka  ada menghidangkan spageti. 

Si Adik sejak dari semalam lagi mengulang-ulang permintaanya."Umi, adik nak mee".

"Kita makan nasi dulu, esok umi buatkan", kakak cuba memujuk.

Pagi tadi bila lihat stok spageti masih ada setengah bungkus, terus mencari bahan-bahan lain untuk dipadankan dengannya. Hah!, okay, udang ada, tomato ada dan daun ketumbar pun ada.  Alhamdulillah boleh jadi rezeki anak ni. Maka terciptalah Spageti Apa  Adanya.



Bahan-bahan:

½ paket spageti
2 camb minyak zaitun
1 camt garam

Sos:
4 biji tomato ranum( celur, buang kulit dan kisar tanpa air)
1 labu bawang Holland(cincang)
3 ulas bawang putih(cincang)
6 ekor udang saiz besar(belah dua, cuci dan toskan)
2 camb sos cili
1 genggam  daun ketumbar(cincang)
½ camt herba daun basil
3 camb. mentega
Sedikit lada hitam
Sedikit paprika
Sedikit garam dan gula

Cara :
1    1.    Didihkan air, masukkan garam dan minyak.Rebus spageti sehingga lembut.
2.    Angkat, lalukan sekejap di bawah air dan toskan.
3.    Perap udang dengan sedikit garam, lada hitam dan paprika
4.    Panaskan mentega dan goreng sekejap udang tadi.  Angkat dan ketepikan
5.    Dalam baki mentega yang sama, tumis bawang Holland serta bawang putih sehingga naik bau.
6.    Masukkan sos cili dan tomato yang telah dikisar. Masukkan 1 cawan air.
7.    Masukkan daun basil dan masak sehingga kuah pekat sedikit.
8.    Perasakan dengan garam dan gula
9.    Masukkan udang ,  spageti dan daun ketumbar. Gaul sebati.
10.  Hidangkan 

Sunday, 10 January 2016

Kuih Ketayap

Sepiring bunga ros buatmu Encik Suami.




Encik suami agak teruja pagi ini melihat kuih yang dihidangkan dihadapannya, sambil bertanya.

“ Kuih apa ni?  Ada sambutan istimewa ke?”.


“Saja”, jawabku sepatah sambil menuang air kopi ke cawannya


Diambilnya sebiji dan mengunyahnya perlahan.

“ Sedap, ada rasa coklat nyioq”,  ulasnya tanpa dipinta


Sedar tak sedar dah habis tiga biji kuih tadi dijamah.  Riak mukanya seolah-olah mekar bak bunga, sambil gigit kuih sambil tersenyum.  Kakak tak pasti bahagianya Encik Suami ini makan kuih yang enak atau hanya lakonan untuk membahagiakan si isterinya yang julung-julung memasak kuih di pagi hari.


“ Itu kuih ketayap versi baru”. Jawab kakak sambil menarik kerusi untuk duduk di sebelahnya.


“Kalau macam ni abang boleh saja makan, tak  apa  walaupun nama ketayap”,  sambil tangannya mencapai sebiji kuih  lagi.


Aah! Dalam hati kakak ada taman.


Kuih ketayap tadi kita boleh ibaratkan perkara yang kita tidak suka.  Ia terbentuk hasil daripada ‘kepercayaan’ kita terhadap perkara itu.  Biasanya ia dicorakkan oleh pengalaman lalu.  Tetapi jika kita memberi makna dan imej baru kepada perkara itu, minda kita akan lebih mudah menerima dan menaakulnya sebagai sesuatu perkara yang menyenangkan bertentangan dengan kepercayaan lama.

Jadi, apa tunggu lagi. Marilah sama-sama masakkan kuih ketayap ini buat yang tersayang di rumah. Chewah! (semasa menulis ini pun masih lagi tersenyum)

Bahan-bahan:

Kulit (bater)
120g tepung gandum
1 biji telur
¼ camt. Garam
250 cecair
Sedikit pewarna merah dan hijau


Inti
½ cawan kelapa parut
2 camb. Gula pasir
¼ cawan sirap coklat Hershey’s
Sedikit serbuk kulit kayu manis
1camb tepung gandum

Sedikit minyak untuk menggoreng

Cara:

Penyediaan inti
1.    Masak kelapa bersama sirap coklat dan masukkan gula serta serbuk kulit kayu manis.
2.    Bancuh tepung gandum dengan sedikit ait dan tuang ke dalam kelapa tadi dan masak hingga pekat

Penyediaan Bater
1.    Campurkan semua cecair telur dan garam. Ketepikan.
2.    Ayak tepung dan buat lubang di tengah. Masukkan cecair sedikit demi sedikit dan kacau sehingga sebati.
3.    Ambil bater ½ cawan dan warnakan hijau. Masukkan selebihnya ke dalam jug, warnakan merah  dan biarkan selama ½ jam

Penyediaan kuih
1.    Panaskan kuali dengan sedikit minyak dan tuangkan 1 senduk bater. Ratakan
2.    Biarkan sehingga masak, angkat dan terbalikkan.
3.    Ulangi proses sehingga bater habis.
4.    Untuk memasukkan inti boleh ikuti ilustrasi di bawah
5.   Guna bater hijau untuk dilipat dan dijadikan daunnya


( Imej daripada pinterest, tak ingat untuk mengambil gambar semasa proses ini )


 Selamat Mencuba