Monday, 15 February 2016

CHOCOBERI CHEESE OVALTIES

Brownies?
Cheese cake?
Apa kata nikmati kedua-duanya. 
Resepi ini adalah variasi kepada gabungan kek keju dan brownies.

Nama yang hipster ini sebenarnya diberi oleh anak murid kakak.  Kakak ada menganjurkan pertandingan inovasi masakan ala-ala 'iron chef' sebagai program pasca PMR.  Ini adalah hasil anak-anak ini.  Kreatifkan!.  Itulah, jika kita beri kepercayaan, peluang dan ruang untuk mereka menunjukkan bakat dan kreativiti, pasti ada hasil WOW!.



BAHAN-BAHAN:
BAHAN A
250g mentega
250g coklat

BAHAN B
4 biji telur
200g gula
1 camt esen vanilla

BAHAN C
180 tepung naik sendiri
80g serbuk koko

BAHAN D
250g krim keju
100g gula kastor
2 biji telur
100ml krim putar
Strawberri segar dan strawberry filling

CARA:

1.    Cairkan bahan A.
2.    Pukul bahan B sehingga kembang. Masukkan bahan A dan pukul sehingga berkilat.
3.    Kaup balikkan bahan C.
4.    Tuang dalam dulang bujur ( adunan ini dapat 4 dulang )
5.    Pukul bahan D sehingga berkrim. Aturkan strawberry segar yang dipotong.  Tuang atas adunan brownies dan hiaskan dengan strawberi dan filling strawberi
6.    Bakar 180°C selama 20-30 minit



Selamat mencuba.

Thursday, 11 February 2016

COCONUTS CREAM TOFFEE BUN

Sudah lama kakak tidak menguli roti.  Semenjak adanya si kembar Nuqman, sudah hampir tiga tahun rasanya.  

Resepi roti ini dulu kakak belajar dengan Chef Peter Lim .  Sekarang ini beliau bekerja sebagai Chef De Partie di Four Season Hotel di Hong Kong. 

Bun ini adalah salah satu daripada variasi bun manis yang terkenal di Taiwan.  Rasa lemak manis kelapa dan toffee karamel sangat sepadan.  Sesuai dinikmati bila minum petang bersama keluarga.


BAHAN-BAHAN:

BAHAN A(gaul kering)
270g tepung protein tinggi ( tepung roti )
7g yis


BAHAN B(gaul kering)
55g gula
3g garam
10g susu tepung

BAHAN C( campurkan, tinggalkan sedikit untuk ‘egg wash’  )
1 biji telur
50g susu segar
120 air ais

BAHAN D
40g majerin
2 camb minyak jagung/minyak masak

KRIM KELAPA (INTI)
100g mentega
100g gula
1 biji telur
sedikit esen vanila
100g kelapa kering
sedikit pewarna
 -Pukul gula dengan mentega hingga kembang.  Masukkan telur dan esen vanila, pukul sehingga sebati.  Masukkan dengan kelapa kering dan pewarna.  Gaulkan.
(boleh tahan 1 bulan di dalam sejuk beku)

- Sedikit krim toffee ( boleh dibeli di kedai kek atau pasaraya tesco )

CARA:

1.    Campurkan bahan A dan bahan B.  Masukkan bahan C sedikit demi sedikit dan gaulkan sehingga sebati dan tidak melekat.  Tinggalkan sedikit bahan C untuk dijadikan 'egg wash'.
2.    Masukkan marjerin dan uli sehingga elastik.  Cubit sedikit doh dan tarik/canai nipis.  Jika doh dapat diregangkan dan tidak terkoyak, ini menunjukkan doh telah cukup elastik.
3.    Biarkan sehingga naik dua kali ganda ( 20 minit ).
4.    Canai untuk buang udara dan timbang 30g untuk bahagikan doh.  Bulat-bulatkan doh yang dibahagikan.
5.    Leperkan doh, masukkan krim kelapa(inti). Canaikan dan biarkan doh selama 20 minit sebelum bakar.
6.    Sapukan ‘egg wash’ sebelum bakar.  Bakar pada suhu 200°C selama 15-20 minit.
7.    Keluarkan dari ketuhar dan sapu lagi ‘egg wash’. Apabila sejuk, paipkan toffee( ke atas bun


Selamat mencuba.

Wednesday, 10 February 2016

CASHEWNUTS BROWNIES

Brownies!
Satu lagi fenomena dalam dunia bakeri.  Kudapan yang mempunyai tekstur di antara kek dan biskut.   Seleksi brownies boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti.  Bagi penggemar coklat, brownies pasti menjadi pilihan. 


BAHAN-BAHAN:
BAHAN A
250g mentega
250g coklat

BAHAN B
4 biji telur
200g gula
1 camt esen vanilla

BAHAN C
180 tepung naik sendiri
80g serbuk koko
100g Gajus(dipanggang dan dicincang)
50g Badam (dipanggang dan dicincang)


CARA:

1.    Cairkan bahan A.
2.    Pukul bahan B sehingga kembang. Masukkan bahan A dan pukul sehingga berkilat.
3.    Kaup balikkan bahan C.
4.    Tuang dalam dulang brownie 8” X 8” dan bakar 180°C selama 20-30 minit.
5.    Angkat dan sejukkan.  Boleh dihias mengikut kreativiti masing-masing.
6.    Enak juga brownie ini dihidangkan bersama aiskrim vanilla.


Selamat mencuba.

Thursday, 28 January 2016

TART KEJU BLUBERRI


Satu lagi siri tart untuk koleksi resepi kalian.

Sebenarnya ini adalah salah projek usahawan ERT untuk mengumpul dana persatuan.  Anak-anak didik kakak begitu beria-ria minta ditunjukkan demo menyediakan tart ini minggu lepas. Tim pemasaran dah bergerak mempromosikan dan mengambil pesanan pada kawan-kawan mereka. Sungguh teruja nampaknya anak-anak ini bila jualan mereka mendapat sambutan. Mereka semakin galak merancang lebih banyak jualan dan mengira-ngira keuntungan yang boleh digunakan untuk aktiviti bersama. 

Betullah seperti satu pepatah cina:

"Apabila seseorang meminta ikan, jangan beri ikan, tetapi berilah pancing dan ajarkan dia memancing"

Mari sama-sama buat tart mini ini untuk kudapan keluarga, Paduan keju dan isian blueberry tidak dapat dinafikan lagi amat menyelerakan.

Bahan:
  • Bahan untuk pastri manis:-
  • 125 gm mentega 
  • 60 gm gula aising
  • 1 biji telur 
  • 240 gm tepung gandum
  • Bahan untuk isian keju(inti):-
  • 250 gm cream cheese
  • 50 gm gula aising
  • 1/2 sudu besar perahan lemon
  • 1 biji telur 
  • Inti pai bluberri
Cara-cara
1.     Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah celcius.
2.     Untuk membuat pastri: - Pukul mentega dan gula aising sampai berkrim. masukkan telur, pukul lagi. Selepas itu masukkan tepung. Gaul hingga membentuk doh. Tekankan doh tadi ke dalam bekas tart. Bakar pada suhu 180 darjah celcius untuk 15-20 minit. Tunggu sejuk dulu baru keluarkan daripada acuan tart.
3.     Untuk membuat cheese filling: -pukul cream cheese, mentega dan gula sehingga kembang. Akhir sekali masukkan telur dan perahan lemon, pukul lagi sehingga sebati.
4.     Masukkan kedalam piping bag dan paipkan kedalam doh tart yang sudah diisi dengan inti pai bluberri. Hiaskan diatas dengan keju dengan inti atau pewarna dan susun diatas dulang pembakar dan bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 10 minit ( tanda keju sudah set ialah permukaannya nampak kering sedikit )







Selamat mencuba

Nantikan lepas ni ada satu lagi resepi tart.


Shepppard Pie Tarlet!!!

Saturday, 23 January 2016

JEMPUT-JEMPUT PISANG ALIAS COKODOK


Cokodok sahaja ke kakak?

Ya!, ramai beranggapan resepi ini mudah disediakan. Tapi tahukah kalian semua, resepi inilah KPI orang zaman dahulu untuk menentukan bakal menantu mereka menguasai kemahiran memasak atau tidak. 

Jika terlebih tepung, ia akan keras. Jika terlebih gula ia akan melekat di kuali atau sesamanya. Apatah lagi kalau bentuk dan saiz tak sama serta rupa jemput-jemput yang berkedut-kedut. Harus,  anak dara yang dinilai itu punya peluang tipis untuk jadi menantunya. Ha..ha..ini semua rujukan perbualan dengan emak kakak yang mengenangkan zaman remajanya dulu. 

Baiklah, kakak kongsikan resepi Cokodok ini dan tips untuk mendapat bentuk yang bulat dan cantik.

Bahan-bahan:

8 biji pisang emas (dilecek halus. Jangan tambah air)
1 cawan tepung
2 camb. tepung beras
1/2 camt. garam
1 camb. gula
1 camt. yis kering 

p/s:Kakak suka tambah yis kering berbanding soda bikarbonat atau serbuk penaik. Yis akan menaik rasa asli pisang dan menjadikannya lebih harum. Berbanding dengan agen penaik, ia akan merubah sedikit rasa pisang dan kadang kala ada rasa pahit jika tidak digaul sebati. Inilah juga rahsia mendapatkan cekodok yang betul-betul bulat. Ahaks...(aksi kenyit mata)

Cara:
Campurkan semua bahan dan gaulkan sehingga menjadi bater pekat. Panaskan minyak sehingga betul-betul panas dan perlahankan api. Jemput bater tadi dan lepaskan di tengah-tengah kuali. Guna belakang sudip untuk menguli bater di dalam kuali minyak panas dengan membuat pusingan. Angkat apabila ia kelihatan keperangan. Kaedah ini akan menjadikan jemput-jemput bulat sekata dan ranggup diluar.  Ia tidak akan berkedut walaupun setelah sejuk.

Peringatan: Jangan lepaskan terlalu banyak jemput-jemput dalam satu masa, kerana ini akan menyebabkan bentuknya tidak sekata dan makan minyak kerana suhu minyak akan turun dan bater akan menyerap lebih minyak dari biasa

Wednesday, 20 January 2016

CHOCOLATE MILKSHAKE TARTLET

Cabaran satu hari satu resepi!

Nampaknya dah tersasar satu hari. Rumah kakak ada masalah air. Lepas ini kenalah kakak 'Qodho' resepi. Hurm...!

Untuk hari ini nikmati dulu Chocolate Milkshake Tartlet. Kulit tartnya rangup dan isian coklat kocak yang mencair dalam mulut. Pasti menjentik deria rasa pada hujung lidah anda. 


Bahan-bahan:

Bahan untuk kulit pastri:-
  • 125 gm mentega / margerin
  • 60 gm gula aising
  • 1 biji telur ( gred C- Kalau gred B buang sedikit putih telurnya )
  • 240 gm tepung gandum

Bahan untuk Chocolate Milkshake(inti):-
  • 200 gm coklat masakan
  • 50g frosty whipped cream powder

Cara:
Panaskan ketuhar pada suhu 180° C.  Untuk membuat pastir manis : - pukul mentega/marjerin dan gula aising sampai berkrim, masukkan telur, pukul lagi. Selepas itu masukkan tepung. Gaul hingga membentuk doh. Tekankan doh tadi ke dalam bekas tart. Tekan kedalam kemas-kemas. Trim tepinya dengan batang sudu atau pisau. Cucuk dengan garpu pada dasar kulit tart untuk membuang gelembung angina.  Bakar pada suhu 180 °C untuk 15-20 minit. Tunggu sejuk dulu baru keluarkan daripada acuan tart. Sejukkan
Untuk isian Chocolate Milkshake

Cairkan coklat melalui kaedah double boiler. Dalam bekas berasingan, masukkan 100ml air ais ke dalam frosty whipped cream powder dan putar hingga pekat. Masukkan coklat yang telah dicairkan tadi dan pukul lagi sehingga sebati. Paipkan ke dalam kulit tart dan sejukkan. Sedia untuk dinikmati.

Sunday, 17 January 2016

DURIAN'S ECLAIR







Musim durian hampir tiba lagi.  Tak sabar rasanya nak buat Durian’s  Éclair.  Bagi yang belum pernah merasainya, jangan lupa untuk mencuba resepi ini nanti. 

Bersalut coklat di luar , lembut dan kaya dengan krim durian yang harum di dalam.  Pasti menjadi kegemaran pengemar-pengemar durian. 

Masih ingat lagi kali pertama kakak menyediakan Durian’s Éclair ni.  Ada yang pelik sebab durian dan Éclair, mungkinkah menyatu?  Tapi bila dah rasa, wah! Tak menang tangan Kak Wie menyiapkan tempahan pada masa tu(aksi kenyit  mata).

Cabaran untuk menyediakan Durian’s Éclair  ini ialah bagaimana mahu mengekalkan kualiti rasa durian. Bereksperimen juga lah dengan durian ini. Masa mula-mula buat, ada beberapa kali isi durian tu jadi masam.  Akhirnya dapat jawapan bagaimana mahu mengekalkan rasa asli durian agar  tahan lama dan tidak akan masam. 

Isi durian perlu dimasak sekejap dan sejukkan.  Pukul bersama-sama krim putar dan masukkan dalam bekas kedap udara. Jika di simpan dalam ruangan dingin peti sejuk, boleh bertahan seminggu dan sebulan jika di ruangan sejuk beku.

Bahan-Bahan:

Pastri Choux
125ml air
60g mentega
2 biji telur (gred:A)
75g tepung gandum
Secubit garam

Krim Durian (putar sehingga kental)
½ cawan isi durian yang telah dimasak sedikit
1 cawan krim putar(non-dairy)

Cara:
1.  Panaskan ketuhar 200 ºC.
2.  Masukkan air, garam dan mentega ke dalam periuk dan didihkan.
3. Masukkan tepung dan kacau sehingga menjadi ketulan yang tidak melekat pada
    dinding periuk.
4. Tutup api dan alihkan kepada mangkuk adunan untuk disejukkan.
5. Setelah sejuk, masukkan telur sebiji-sebiji dan pukul sehingga adunan menjadi bater
    yang licin dan berkilat.
6. Paipkan sepanjang 2” dengan jarak 2cm antara satu sama lain

7. Bakar selama 15 minit.  Sejukkan. (nota: simpan bekas bertutup di dalam ruangan
    dingin beku-boleh tahan selama 1 bulan )
8. Isikan krim dan boleh celup coklat cair atau taburkan gula ising dan hidangkan.

Selamat mencuba!